Rancangan Perang Siber Obama Sabotaj Nuklear Korea Utara Gagal


WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama melancarkan perang siber ke atas program peluru berpandu Korea Utara pada 2014, namun gagal mencapai matlamatnya.

Akhbar The New York Times melaporkan, AS masih gagal menghalang program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang secara berkesan, hasil siasatan selama beberapa bulan berdasarkan temuramah dengan pegawai pentadbiran Obama dan Donald Trump, selain 'semakan rekod awam menyeluruh tetapi samar-samar.'

The Times berkata, ancaman Korea Utara kekal berbahaya sehinggalah apabila Obama meninggalkan jawatannya, beliau memberi amaran kepada Trump ia kemungkinan masalah paling mendesak untuk dihadapinya.

Laporan berkata, tiga tahun lalu, Obama mengarahkan Pentagon meningkatkan serangan siber dan elektronik terhadap Korea Utara untuk cuba mensabotaj pelancaran peluru berpandu atau sebaik ia berlepas.

Program itu jelas berjaya kerana beberapa roket dan peluru berpandu Pyongyang gagal ketika dilancarkan.

Penyokong program AS mendakwa ia berjaya, kerana mempercayai mereka setidak-tidaknya dapat menangguhkan selama beberapa tahun keupayaan Korea Utara untuk melancarkan senjata nuklear menggunakan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) dan ancaman serangan ke bandar AS.

Rejim pimpinan Kim Jong-un menjalankan tiga pelancaran roket jarak sederhana dalam tempoh lapan bulan lalu dan dua ujian nuklear pada 2016 dalam usaha membangunkan ICBM yang boleh sampai ke AS.

Kim dengan bangganya berkata pada Januari lalu, Pyongyang kini di peringkat akhir membangunkan ICBM dalam usaha jelas memberi tekanan terhadap pentadbiran Trump. - AFP

LIKE Facebook BULETIN

Scroll to top