Persoal Isu Rasuah, Wakil Rakyat DAP Dihalau Keluar DUN Johor


ISKANDAR PUTERI: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz hari ini mengarahkan Yeo Tung Siong (DAP-Pekan Nanas) keluar dewan dan tidak dibenarkan menghadiri sidang hari ini.

Mohamad membuat keputusan itu selepas mendapati Tung Siong melanggar peraturan dewan dengan mengingkari arahan Speaker supaya duduk selain berterusan menyerang Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai isu rasuah di negeri ini.

Terdahulu, Mohamad meminta Tung Siong supaya duduk sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang itu ingkar dan terus menyerang Mohamed Khaled dan meminta rundingan berkenaan penubuhan jawatankuasa pemantau berhubung isu penyelewengan kes rasuah.

Dalam perkembangan lain, Persidangan DUN Johor hari ini juga menolak usul dicadangkan pembangkang bagi menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Siasatan berhubung skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Mohamad menolak usul dicadangkan itu supaya tidak mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kekecohan berlaku kira-kira 15 minit sebelum Mohamad mengeluarkan arahan keluar dewan mengikut Peraturan Tetap Bilangan 50(5) mengikut Peraturan dan Perintah Tetap bagi Dewan Negeri Johor.

LIKE Facebook BULETIN

Scroll to top