Melintas Landasan Untuk Ke Kedai, 2 Beradik Maut Dirempuh Komuter


SHAH ALAM: Dua beradik maut dilanggar tren komuter berhampiran jejantas berdekatan Stesen Komuter Padang Jawa.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang semalam itu di kilometer 29.5, mangsa Sabiran Musa, 40, dan adiknya, Nizam Riduan, 36, kedua-duanya beralamat di Jalan Dato Mohd Sidin off Jalan Batu 3 Lama, Sungai Rasau, Seksyen 16 Shah Alam, mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata kedua-dua mangsa yang tinggal berhampiran lokasi kejadian, dipercayai menyeberangi landasan untuk ke kedai runcit berdekatan apabila dilanggar tren komuter dari arah Kuala Lumpur ke Klang.

"Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak kira-kira 3 meter dari landasan.

"Pemeriksaan awal mendapati mangsa cedera parah di kepala, kaki dan patah tangan.


"Mayat mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat," katanya hari ini.

Shafien berkata, kes dikelaskan sebagai kematian mengejut.

Scroll to top