Mati Ditembak Dalam Rumah


KAJANG: Seorang lelaki mati selepas terkena sedas tembakan di dahi ketika menghadiri satu perbincangan di sebuah rumah di Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9 Cheras di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa yang berusia 39 tahun dan berasal dari Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, ditemui dalam keadaan terbaring di tingkat 3 rumah terbabit dengan luka tembakan di tengah dahi dengan sepucuk revolver di tangan kanannya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata siasatan mendapati mangsa datang ke rumah berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam untuk mengadakan satu perbincangan bersama 11 individu lain termasuk pemilik rumah terbabit.

Katanya, rumah berkenaan adalah rumah teres setingkat yang diubah suai menjadi tiga tingkat dan kira-kira jam 3 pagi, pemilik rumah mendakwa mendengar bunyi tembakan di tingkat tiga yang dijadikan ruang riadah sebelum menemui mangsa dalam keadaan terbaring.

"Pemilik rumah yang juga lelaki berusia 54 tahun itu kemudian membuat satu laporan polis pada jam 5 pagi mendakwa mangsa menembak diri sendiri.

"Namun siasatan yang dijalankan Bahagian Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pakar Forensik Patologi Hospital Serdang di tempat kejadian mengesahkan terdapat keraguan dalam kematian simati yang dikatakan membunuh diri itu.

"Susulan itu, pihak forensik mengambil sampel untuk ujian sisa tembakan (GSR) ke atas 11 individu yang turut berada di tempat kejadian sebelum ditahan untuk membantu siasatan. Kita turut menahan dua wanita iaitu isteri pemilik rumah dan pembantu rumahnya," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 30 hingga 59 tahun dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

Othman berkata pistol yang digunakan dalam kejadian itu dirampas untuk dibuat ujian balistik dan polis masih meneruskan siasatan bagi memastikan motif kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Scroll to top