Konflik Korea Utara: PM Atur Operasi Jika Rakyat Terancam


SHAH ALAM -  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan akan mengambil langkah perlu sekiranya nyawa dan keselamatan rakyat Malaysia terancam.

Beliau berkata demikian menerusi perkongsian ringkas di Twitternya, hari ini.

Najib dalam masa sama turut menegaskan yang beliau akan melindungi rakyat memandangkan ia sentiasa menjadi keutamaan nombor satunya.

"Melindungi rakyat kita adalah keutamaan nombor satu. Tidak akan teragak-agak untuk mengambil segala tindakan yang diperlukan bila mereka (rakyat) diancam," katanya seperti yang dipetik menerusi Twitternya, hari ini.

Dalam masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan Korea Utara menyekat rakyat Malaysia daripada keluar meninggalkan negara itu seolah-olah menculik rakyat negara ini.

Beliau berkata, kerajaan Korea Utara sepatutnya membenarkan rakyat Malaysia keluar daripada negara itu tanpa sebarang sekatan.

"Tindakan (Korea Utara) sama seperti mengambil tebusan. Ini tidak boleh diterima.

"Sepatutnya kerajaan Korea Utara benarkan rakyat Malaysia pulang ke negara ini tanpa ada halangan," katanya dalam kenyataan ringkas di Twitternya hari ini.

Kerajaan Korea Utara dilaporkan mengeluarkan larangan sementara ke atas rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

Memetik laporan Reuters, larangan itu atas alasan untuk memastikan keselamatan diplomat dan rakyatnya di Malaysia ekoran krisis diplomatik yang berlaku antara kedua-dua negara selepas pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.



Difahamkan, Kementerian Luar Korea Utara telah memaklumkan kepada kedutaan Malaysia di Pyongyang dan berharap isu itu diselesaikan secara baik demi hubungan dua hala antara kedua negara.

LIKE Facebook BULETIN

Scroll to top