Kim Jong Nam Mati Kerana Sakit Jantung - Korea Utara


KUALA LUMPUR: Korea Utara mempertahankan pendiriannya bahawa abang pemimpin tertinggi negara itu, Kim Jong-nam meninggal dunia kerana serangan jantung, bukan impak akibat serangan ejen saraf atau senjata kimia.

Jurucakap Kedutaan Besar Korea Utara di Malaysia, Ri Tong-il, berkata rekod kesihatan mangsa sebelum ini menunjukkan Jong-nam mempunyai masalah jantung selain diabetes dan tekanan darah tinggi.

Katanya, mangsa juga pernah dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung dan menerima rawatan dari semasa ke semasa. Malah, mangsa tidak boleh melancong tanpa membawa bersama ubat-ubatan berkaitan.

"Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), memaklumkan kepada kami bahawa mereka menemui bersama si mati ubat diabetes, jantung dan darah tinggi ketika bedah siasat dilakukan ke atas mayatnya.

"Ini jelas membuktikan punca sebenar kematian mangsa adalah disebabkan serangan jantung," katanya pada sidang media di hadapan pejabat Kedutaan Besar Korea Utara di sini, sebentar tadi.

Beliau yang juga bekas Duta Besar Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), turut mempersoalkan bagaimana dua suspek wanita yang menyapu toksik ke muka mangsa tidak menerima kesan sama.

Begitu juga polis, doktor serta jururawat yang merawat mangsa selepas serangan itu berlaku.

"Semua tahu bahawa ejen saraf itu sangat bertoksik dan dikategorikan sebagai senjata kimia. Mereka yang terdedah (dengan bahan kimia ini) akan mati serta-merta.

"Justeru, kita minta Jawatankuasa Antarabangsa untuk menjawab semua persoalan ini," katanya.

Jong-nam meninggal dunia pada 13 Februari lalu selepas diserang di aras pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Dua suspek wanita yang dipercayai melakukan perbuatan itu, iaitu warga Indonesia, Siti Aisyah,25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong,29, sudah didakwa di Mahkamah Sepang, semalam.

LIKE Facebook BULETIN

Scroll to top