Drastik: Kerajaan Lapor Penggunaan Agen Saraf VX Kepada OPCW


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) yang berpangkalan di Hague malam tadi menerima kenyataan bertulis daripada wakil tetap Malaysia ke pertubuhan itu berhubung penggunaan bahan kimia agen saraf VX dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Perkara itu disahkan OPCW menerusi Twitter rasminya yang turut memuat naik kenyataan terbabit dan boleh diakses orang ramai di akaun berkenaan.

Dalam kenyataan itu, wakil tetap Malaysia, Datuk Ahmad Nazri Yusof menjelaskan kepada Ahli Majlis Eksekutif OPCW mengenai penggunaan agen saraf VX dalam kes pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Ahmad Nazri turut menjelaskan Malaysia mengutuk penggunaan bahan kimia itu oleh sesiapa sahaja dan dalam apa jua keadaan selain menegaskan siasatan yang membawa kepada penemuan bahan kimia berbahaya itu dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang Malaysia.

"Kedutaan Korea Utara di Malaysia sudah dimaklumkan prosedur dan perkembangan siasatan sejak hari pertama kejadian itu berlaku.

"Saya sendiri dan pihak berkuasa Konvensyen Senjata Kimia Malaysia turut berhubung dengan OPCW yang mana kita meminta bantuan kemudahan teknikal daripada pertubuhan itu untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan itu.



Beliau berkata, Malaysia memberi kerjasama penuh kepada OPCW dan sentiasa mematuhi undang-undang di bawah Perkara 1 Konvensyen Larangan Penghasilan, Penyimpanan dan Penggunaan Senjata Kimia Bagi Tujuan Kemusnahan (CWC).

Katanya, Malaysia juga tidak menghasilkan, menyimpan stok, mengimport, mengeksport atau menggunakan mana-mana bahan kimia toksik termasuk VX yang disenaraikan dalam jadual 1 CWC.

BACA JUGA: PBB Bantu Bawa Keluar Rakyat Malaysia Dari Korea Utara

LIKE Facebook BULETIN

Scroll to top