Anak Syarikat SapuraKencana Raih Kontrak RM400 Juta


KUALA LUMPUR: Dua anak syarikat milik penuh SapuraKencana Petroleum Bhd, mendapat empat kontrak berkaitan kejuruteraan dan pembinaan dengan nilai keseluruhannya kira-kira RM433.6 juta (AS$97.4 juta).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SapuraKencana berkata anak syarikat itu adalah SapuraKencana TL Offshore Sdn Bhd (SKTLO) dan SapuraKencana HL Sdn Bhd (SKHL).

SKTLO mendapat kontrak Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi Pengangkutan dan Pemasangan Kemudahan Luar Pesisir Pan Malaysia.

Ini membabitkan kerja pengangkutan dan pemasangan platform, struktur dan saluran paip serta tugas berkaitan selama setahun pada 2017 hingga 2018.

"Ia turut menerima kontrak Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) bagi kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pengoperasian Kerja-Kerja Pembaikan dan Penstabilan Unit Pengeluar Luar Pesisir Mudah Alih Sepat," kata SapuraKencana.

Kontrak itu bagi tempoh kira-kira lima bulan. Sementara itu, SKHL mendapat kontrak bagi penyediaan pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (PCC) 'Full Well Stream (FWS) Air Cooler Module on Central Processing' daripada PCSB. Kontrak itu bagi tempoh 33 bulan.

"Ia juga mendapat kontrak PCPP Operating Company Sdn Bhd (PCPP) bagi penyediaan kejuruteraan, persiapan, pengasingan dan pelupusan untuk Dana dan penamatan pengoperasian bagi tempoh sembilan bulan," kata syarikat itu.

Scroll to top