Takut Dibunuh, Anak Jong-Nam Tolak Tawaran Belajar di Oxford


LONDON: Anak lelaki Kim Jong-nam, Kim Han-sol yang diberi amaran mengenai keadaan keselamatannya sebelum bapanya dibunuh minggu lalu, sekali gus menolak tawaran menyambung pengajian ijazah sarjana di Universiti Oxford.

Akhbar Daily Mail memetik sumber di China sebagai berkata, Han-sol, 23, 'hidup dalam ketakutan' berikutan bimbang dibunuh 'skuad pembunuh kejam' (malah sebelum pembunuhan bapanya) yang dipercayai dilakukan atas arahan bapa saudaranya, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Dia 'kini dikawal ketat pengawal bersenjata bersama ibunya, Ri Hye-kyong dan adik perempuannya Sol-hui, 18, di kota syurga perjudian, Macau.'

Media itu menyebut, Han-sol dan bapanya 'dinasihatkan supaya tidak melakukan perjalanan di luar Macau dan China, di mana Korea Utara mungkin teragak-agak menghantar skuad pembunuh atas alasan politik.

Bagaimanapun, Jong-nam yang gemar berpoya-poya dan berjudi, tidak mengendahkan amaran, seterusnya berkunjung ke Malaysia di mana mangsa dikatakan memiliki wanita simpanan.'

Akhbar melaporkan, Han-sol mengambil berat amaran itu. Teman wanitanya, Sonia dikatakan sudah menyambung pengajian di Oxford.


Sumber memetik akhbar harian itu berkata, Korea Utara bergantung kepada bantuan China dan takut mengapa-apakan Han-sol di China, namun tidak begitu di UK.

Han-sol belajar jurusan politik di Paris, Perancis selama tiga tahun sebelum pulang semula ke Macau musim panas lalu.

Akhbar South China Morning Post melaporkan, keluarga Jong-nam ketika ini dalam perlindungan polis di jajahan itu. - Agensi

Scroll to top