Shell Refining Tukar Nama Jadi Hengyuan Refining

KUALA LUMPUR: Shell Refining Co (Federation of Malaya) Bhd (Shell Refining), bercadang untuk menukar namanya kepada Hengyuan Refining Co Bhd. 


Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Shell Refining berkata, cadangan penukaran nama itu telah diluluskan dan diwartakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). 

"Pekeliling kepada pemegang saham berserta perincian mengenai cadangan itu akan diedarkan kepada pemegang saham tidak lama lagi," menurut Shell Refining. 

Selepas mendapat kelulusan pemegang saham Shell Refining, cadangan itu akan berkuat kuasa daripada tarikh Notis Pendaftaran Nama Baharu yang dikeluarkan oleh SSM, menurut syarikat itu. 

Pada 22 Disember, Shell mengumumkan penyelesaian jualan 51 peratus pegangannya dalam Shell Refining (Malaysia), termasuk loji penapisan di Port Dickson, Negeri Sembilan, kepada Malaysia Hengyuan International Ltd pada AS$66.3 juta. - BERNAMA

Scroll to top