Rakan Kongsi Raja Dadah Asean Ditangkap di Kelantan


BANGKOK - THAILAND. Pihak berkuasa Thailand sedang menunggu kebenaran rakan sejawatan mereka dari Malaysia untuk menyoal siasat seorang lelaki yang ditangkap di Kelantan minggu lepas, kata Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB).

Ketua setiausaha ONCB, Sirinya Sitdhichai berkata lelaki itu, yang memiliki kerakyatan Thailand dan Malaysia, disyaki merupakan orang paling penting kepada seorang raja dadah di selatan Thailand.

Oleh kerana waran tangkap dikeluarkan terhadap suspek di Thailand, pihak berkuasa negara ini perlu mendapatkan kebenaran Malaysia untuk menyoal siasatnya bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang rangkaiannya di Thailand, kata Siriya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Suspek itu juga didakwa mempunyai hubungan dengan seorang lelaki Laos  digelar "Raja Dadah ASEAN, yang ditahan pihak berkuasa Thailand pada 19 Januari lepas.

Minggu lepas, pihak berkuasa Thailand mengumumkan penangkapan lelaki itu oleh polis Malaysia di Kelantan.

Berikutan penahanan lelaki itu di Kelantan, pihak berkuasa Thailand melancarkan operasi dan merampas wang dalam mata wang Thailand dan Malaysia berjumlah 68 juta Baht (RM8.7 juta) di Hatyai dan Sungai Golok.

Seorang wanita dan seorang lelaki ditangkap dalam operasi susulan itu.

Wang yang dirampas itu didakwa adalah hasil daripada perniagaan dadah yang dikendalikan suami wanita berkenaan, yang kini menjalani hukuman penjara di Malaysia kerana kesalahan menyeludup dadah berikutan penangkapannya tiga tahun lepas.

Suami wanita itu ditahan di Kelantan ketika cuba menyeludup 70,000 pil psikotropik (pil kuda).- Bernama

Scroll to top