Perogol Terkenal Selva Kumar Diharam Masuk Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan membenarkan perogol bersiri rakyat Malaysia, S Selva Kumar daripada memasuki negeri ini kerana dia dianggap sebagai individu berisiko tinggi. 


Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata Selva Kumar tidak dialu-alukan di Sabah kerana dia berpotensi menimbulkan bahaya kepada orang ramai, terutama wanita dan kanak-kanak. 

"Kita tidak boleh mengambil risiko dan melindungi rakyat negeri ini. Arahan ini dikuatkuasakan serta-merta kepada Jabatan Imigresen Sabah, " katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi. 

Selva Kumar yang selesai menjalani hukuman penjara 24 tahun di Toronto, Kanada selepas didapati bersalah atas 30 pertuduhan jenayah terhadap wanita, dijangka tiba di tanah air pagi ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selva Kumar, 56, berasal dari Pulau Pinang, dipenjarakan selepas didakwa melakukan serangan seksual ke atas hampir 1,000 wanita dan kanak-kanak perempuan. 

Akhbar The Hamilton Star sebelum ini melaporkan, Selva Kumar yang dibebaskan pada 29 Januari lalu, ditahan Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada (CBSA) dan perbicaraan khas Majlis Imigresen dan Pelarian Kanada pada Isnin lalu memerintahkan dia ditahan sehingga dihantar pulang ke Malaysia. 

Selva Kumar disabitkan pada 1992 dalam dua perbicaraan berasingan kerana memberi dadah dan melakukan serangan seksual hadap 30 wanita.

Scroll to top