Penurunan Dividen KWSP Tahun Ini Adalah Normal


KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan dividen tahun penuhnya bagi 2016 pada hujung minggu ini.

Bagi 2015, dana pencen itu mengisytiharkan dividen 6.4 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM38.24 bilion.

Bagi 2016, dividen yang diberikan pastinya mencerminkan sentimen lemah dalam pasaran domestik dan ekuiti asing.

Hampir setiap dana pencen dan pelaburan terjejas akibat daripada kesan penurunan harga minyak dunia yang jatuh ke paras paling rendah dalam sejarah pada US$28 (US$1 = RM4.44) setong pada Januari, ditambah dengan penyusutan nilai ringgit yang ketara dan referendum 'Brexit' (Britain keluar dari Kesatuan Eropah).

KWSP juga turut terkena tempiasnya kerana ia merupakan pelabur utama dalam Bursa Malaysia dengan wajaran besar dalam saham perbankan, perladangan dan minyak dan gas, yang mencatatkan kerugian besar.

Namun, meskipun cabaran-cabaran ini, KWSP dijangka mengisytiharkan kadar dividen hampir enam peratus.

Para penganalisis pasaran berkata ia akan memberikan pulangan yang baik kepada pencarum.

Pandangan jauh dana itu dalam meneruskan pelaburan portfolio pelbagai yang termasuk aset asing memastikan ia berada di kedudukan kukuh untuk meraih pulangan yang baik seperti tahun lepas walaupun berdepan cabaran.

Penganalisis berkata dividen KWSP akan lebih baik berbanding dana domestik lain, hasil daripada aset asingnya yang walaupun terdiri 28-29 peratus daripada portfolio pelaburan, akan menyumbang 39-40 peratus kepada pendapatan.

Pendek kata, pelaburan luar negara terus mengukuhkan pulangannya.

Melihatkan kepada dana-dana di seluruh dunia, mendapatkan hasil merupakan satu cabaran yang besar dalam keadaan pertumbuhan perlahan dan persekitaran kadar faedah rendah.

Bagaimanapun, dari segi pulangan jangka pendek dan jangka panjang yang konsisten, penganalisis menyatakan tidak ramai yang mampu mengatasi KWSP kerana dana itu tidak mengalami tahun yang sukar.  Meskipun suku pertama 2016 merupakan tempoh yang sukar bagi ekuiti, ekonomi mula pulih pada separuh kedua dan kemudiannya, keputusan kewangan suku ketiga bagi KWSP meningkat.

Keputusan suku keempat akan diumumkan dalam sidang akhbar pada Isnin depan bersama dengan keputusan tahun penuh selepas pengumuman dividen pada hujung minggu ini.

Ironinya, meskipun ia merupakan suku akhir yang membimbangkan, memandangkan kecenderungan bakal presiden Amerika Syarikat (AS) pada masa itu, Donald Trump, mengeluarkan kenyataan kontroversi, pasaran AS terus mencatatkan peningkatan yang membantu meningkatkan operasi global dan pendapatan KWSP.

Pasaran ekuiti menarik yang mana KWSP meraih pulangan stabil menerusi pelaburan dalam pembangunan hartanah dan saham prasarana termasuklah AS, United Kingdom dan Eropah.

Menurut para penganalisis, pendapatan kasar KWSP bagi 2016 dijangka lebih tinggi berbanding 2015, tetapi disebabkan Bursa Malaysia mencatatkan prestasi lemah tahun lepas, KWSP meningkatkan peruntukannya bagi ekuiti di Malaysia.

Justeru, pencarum perlu menerima hakikat bahawa penurunan dividen akan menjadi satu perkara 'normal yang baharu' memandangkan keadaan tahun lepas.

Pencarum masih menaruh kepercayaan terhadap KWSP yang, selain menyediakan perkhidmatan terbaik, sentiasa mengamalkan pendekatan berhemat dalam pelaburannya dengan aset selamat merupakan ramuan utama portfolionya secara keseluruhan.

Kaji selidik kepuasan pelanggan yang dijalankan beberapa tahun lepas menunjukkan 94.74 peratus pelanggan KWSP berpuas hati dengan perkhidmatannya.

Oleh itu, apa juga dividen yang diumumkan KWSP pada hujung minggu ini, ia adalah satu yang realistik berdasarkan keadaan pasaran dan dengan mengambil kira kepentingan pencarumnya. - Bernama

Scroll to top