Pembebasan Mat Tere Kerana Telah Tamat Reman, Bukan Ehsan Sesiapa: Annuar Musa


KOTA BHARU - Tan Sri Annuar Musa mahu isu Muhammad Zul Apiz Baharom atau dikenali Mat Tere yang dibebaskan oleh Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Johor  dijadikan pengajaran kepada semua pihak.

Gembira dengan khabar itu, Annuar berkata, kuasa ALLAH  SWT telah meningkatkan darjat lelaki itu termasuk membuka pintu hati ramai manusia terhadapnya.

"Kuasa ALLAH jua darjat Mat Tere di tinggikan dan membuka pintu hati ramai insan untuk berbaik hati terhadapnya.

"Kita ucapkan terima kasih kepada semua. Seseorang yg lazimnya di hina atau di sangka hina boleh sekelip mati menjadi di hormati dan begitulah sebaliknya," katanya dalam tulisan di laman sosial Facebooknya hari ini.

Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) percaya pihak berkuasa telah menjalankan tugas dengan baik dan berlandaskan undang-undang yang ditetapkan.

"Pembebasan Mat Tere itu setelah tempoh reman tamat  semalam dan bukan ehsan atau arahan.

"Kita percaya polis bertindak bebas dan saksama," katanya.

Sehubungan dengan itu beliau menasihatkan orang ramai tidak sewenang-wenangnya mempersenda atau mengambil kesempatan dari keadaan Mat Tere untuk kepentingan diri.

"Semua manusia ada maruah masing masing. Kita harus belajar menghormati orang lain, ALLAH tidak memandang harta, kuasa dan pangkat seseorang, yang lebih mulia disisinya ialah keimanan dan ketakwaan kepadanya," katanya.

Mat Tere yang didapati mengalami masalah mental ditahan polis di hadapan sebuah hotel di Jalan Pendek, Kota Bahru pada 8 Februari lepas.


Penahanan dilakukan selepas polis Johor menerima satu laporan berhubung  penyebaran satu rakaman video melalui Facebook yang menunjukkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata jelik terhadap Tunku Mahkota Johor.

Scroll to top