Neelofa Lega Dapat 'Friendzone' Fattah Amin


KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Neelofa, mengakui masih boleh berkomunikasi dengan Fattah Amin berhubung soal kerja atau perkara lain hingga ke hari ini.

Katanya wanita berusia 28 tahun ini, beliau gembira apabila ikatan persahabatan antara mereka terus berkekalan saat berdepan pelbagai cakap-cakap orang mengenai perkara itu.

"Kami tetap berkomunikasi, bercakap soal kerja dan sebagainya. Ia menggembirakan saya apabila dapat mengekalkan perkara itu, tidak kira apa yang diperkatakan di luar sana," katanya.

Neelofa berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman dirinya sebagai duta jam tangan jenama Titan, di sini, petang tadi.

Mengulas keputusan untuk tidak menyertai drama bersiri terbaru, Hero Seorang Cinderella, beliau menegaskan dirinya bukan enggan berbuat begitu, sebaliknya perlu mengalah disebabkan alasan tertentu.

Drama yang bakal diarahkan Michael Ang itu direncanakan pada asalnya untuk menggandingkan semula Neelofa dan Fattah, rentetan kejayaan Suri Hati Mr Pilot.

Namun begitu, harapan peminat masing-masing untuk melihat mereka kembali bersatu dalam drama baharu tidak kesampaian apabila Neelofa mengumumkan dirinya tidak terbabit dengan projek itu, baru-baru ini.

Michael pula hari ini menyatakan hasratnya untuk mengadakan sesi uji bakat bagi mencari pelakon yang bakal digandingkan dengan Fattah dalam karya terkini arahannya itu.

Sementara itu, diminta komennya berhubung desas-desus percutian beliau di sebuah lokasi luar negara, bersama beberapa teman termasuk kerabat yang dikatakan akrab dengannya, bintang jelita ini memaklumkan enggan lagi mengulas sebarang isu berkaitan.

Scroll to top