Korea Selatan Yakin Dalang Bunuh Jong-Nam Adalah Korea Utara


SEOUL: Pemangku Presiden Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn semalam menyalahkan Korea Utara atas pembunuhan abang pemimpinnya, Kim Jong-un, mengkritik insiden itu sebagai tindakan keganasan sambil menggesa masyarakat antarabangsa mengutuk rejim itu.

Dalam satu mesyuarat Majlis Keselamatan di negara itu, Kyo-ahn berkata, Pyongyang adalah dalang di sebalik kematian Kim Jong-nam, yang maut seminggu lalu selepas diserang menggunakan racun oleh dua wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2), ketika menunggu penerbangan ke Macau.

"Saya fikir adalah pasti rejim Korea Utara menjadi dalang insiden itu. Insiden itu adalah tindakan jenayah keganasan ke atas kemanusiaan dan kami tidak akan bertoleransi mengenainya.

"Ia menunjukkan kekejaman rejim Korea Utara yang menggunakan apa saja cara untuk kekal berkuasa," katanya dipetik akhbar The Korea Herald merujuk kepada keputusan siasatan polis Malaysia yang menunjukkan lebih lima rakyat Korea Utara terbabit dalam serangan.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas polis Malaysia mengumumkan, mereka memburu empat lagi rakyat Pyongyang dalam kaitan dengan pembunuhan Jong-nam.

Suspek dilaporkan sudah kembali ke Korea Utara selepas meninggalkan Malaysia pada hari sama Jong-nam meninggal dunia.

Terdahulu, Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol berkata, beliau tidak dapat mempercayai siasatan polis Malaysia, menggesa ia dilakukan secara bersama terhadap kes pembunuhan itu, mencetuskan pertikaian diplomatik antara kedua-duanya. -The Korea Herald

Scroll to top