Keluarga Mangsa Nahas Basikal Layak Terima Insurans RM5000


JOHOR BAHRU - Lapan waris keluarga yang maut dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, di sini, awal pagi tadi layak menuntut wang insurans  sebanyak RM5,000 setiap seorang.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif berkata, tuntutan insurans itu adalah di bawah Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia.

Menurutnya, pihak sekolah akan membantu waris keluarga yang terlibat menyediakan dokumen yang diperlukan untuk menuntut insurans berkenaan.

"Sekiranya dokumen lengkap, bayaran insurans tersebut boleh dituntut dalam masa dua minggu.

"Walaupun kejadian berlaku di luar waktu sekolah, setiap pelajar boleh menuntut insurans ini kerana ia memberi perlindungan 24 jam dan di seluruh dunia," katanya kepada media semasa menziarahi keluarga mangsa di perkarangan rumah mayat Hospital Sultanah Aminah.

Shaharudin berkata, untuk pelajar yang tercedera pula layak menuntut bayaran mengikut tahap kecederaan yang dialami  dan mengikut bilangan hari mereka dirawat di hospital.

"Pihak kami turut menghantar tujuh kaunselor untuk membantu menenangkan keluarga mangsa di sini selain akan membantu urusan pengebumian jenazah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedar tentang kewujudan kumpulan berbasikal di kalangan pelajar sekolah dan sedang berusaha mengumpulkan maklumat untuk menjalankan program kesedaran.

"Kita minta sekolah ambil tindakan untuk mengadakan program agar mereka insaf dan meninggalkan aktiviti tersebut.

"Ini kerana pihak kami difahamkan basikal yang dinamakan lajak ini telah diubahsuai dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan," katanya.

Beliau turut menasihatkan para ibu bapa agar mencegah anak-anak mereka supaya tidak terlibat dengan aktiviti ini.

Scroll to top