Jabatan Agama Mulakan Siasatan Skandal Seks Muhyiddin Yassin


JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memulakan siasatan berhubung dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan terbabit dengan skandal seks bersama seorang wanita.

Hari ini, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah, dipanggil untuk hadir memberi keterangan mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Johor di Bahagian Penguatkuasaan JAINJ.

Azwanddin berkata, empat saksi termasuk dirinya akan dipanggil untuk memberi keterangan di Mahkamah Syariah Johor Bahru dalam tempoh terdekat ini bagi membicarakan kes berkenaan.

Katanya, beliau juga memberi tempoh tiga hari mulai esok kepada Muhyiddin untuk mengeluarkan kenyataan mohon maaf terbuka kepada dirinya berikutan dakwaan mengatakan JMM dan dirinya berbohong mengenai isu skandal seks berkenaan.

"Saya berpuas hati dengan tindakan dilakukan JAINJ dan pihak jabatan juga sudah membuka fail untuk proses perbicaraan kes ini di mahkamah dengan membariskan empat saksi termasuk saya yang akan dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.

"Saya beri dia (Muhyiddin) tempoh tiga hari mulai esok untuk meminta maaf kepada saya kerana selama ini dia mengatakan saya berbohong, tetapi hari ini (dipanggil beri keterangan) dakwaan skandal seks ini terbukti bukan satu pembohongan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas dua jam memberi keterangan di Bahagian Penguatkuasaan JAINJ di Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini. Azwanddin yang hadir bersama peguam, Izzat Muhtar, tiba pada jam 11.40 masuk ke ruangan pejabat untuk memberi keterangan sebelum keluar pada jam 2 petang tadi.


Azwanddin berkata, jika tiada permohonan maaf terbuka dibuat, beliau tidak teragak-agak untuk memfailkan saman terhadap Muhyiddin bagi menebus kembali maruah terhadap kenyataan berniat jahat terhadapnya itu.

Kes berkenaan mendapat perhatian selepas blogger, Raja Petra Kamaruddin pada Jun tahun lalu, menyiarkan dokumen Akuan Bersumpah (SD) seorang lelaki yang mendakwa wujud hubungan sulit di antara isterinya dengan seorang ahli politik yang ketika itu memegang jawatan Menteri Besar Johor.

Muhyiddin bekas Menteri Besar Johor yang dikaitkan dengan dakwaan terbabit, bagaimanapun menafikannya serta menuntut Raja Petra supaya memohon maaf.

Pada 2 Februari lalu JMM menyerahkan beberapa dokumen penting bagi membantu siasatan berhubung dakwaan skandal seks membabitkan Muhyiddin iaitu SD bekas Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Clement Agustin mengenai dakwaan hubungan Muhyiddin dan isterinya Nika Gee Siew Yee.

Scroll to top