Hans Isaac Pilih Ratu Cantik Ganti Neelofa, Rancang Kahwin Julai Ini


KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Hans Isaac, mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya yang juga bekas pemenang Miss Tourism International 2012, Gabriella Robinson.

Menurut Hans, 45, majlis perkahwinan mereka akan dilangsungkan di Gereja St John di sini, pada 29 Julai depan, manakala acara resepsi pula diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada sebelah malam hari sama.

"Kami berjumpa pada tahun 2011 ketika saya menjadi juri pertandingan Miss Tourism International. Selepas itu, kami pernah terserempak lagi dalam beberapa acara, tetapi setakat bertegur sapa.

"Hubungan kami mula rapat pada tahun lalu. Sikapnya yang merendah diri membuatkan hati saya terpikat, lantas memilihnya untuk menjadi teman hidup," kata Hans pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Kata Hans, beliau mengikat tali pertunangan dengan Gabriella pada 29 Januari lalu selepas melamarnya di sebuah gereja di Singapura.


Sementara itu, mengulas keyakinannya memilih aktor terbabit sebagai suami, Gabriella, 28, berkata beliau terpikat dengan kematangan pelakon J Revolusi itu.

"Walaupun jarak usia kami agak jauh, ia bukan halangan kerana saya belajar banyak perkara daripada pengalamannya seperti menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab.

"Dia juga seorang lelaki yang mengutamakan keluarga. Sikap itulah yang membuatkan saya tertarik dengannya," ujarnya.



Jangan lupa untuk LIKE Facebook BULETIN

Scroll to top