Adakah Ini Bukti Kukuh Bumi Berbentuk Leper?


PENDAKWAH yang juga penulis buku Quran Saintifik, Datuk Dr Danial Zainal Abidin telah mengemukakan beberapa hujah yang dikupas berdasarkan al-Quran bagi membuktikan bumi berbentuk bulat (sfera).

Dalam artikelnya kepada Sinar Harian, beliau menyatakan bahawa, salah satu kalimat penting yang digunakan al-Quran yang menunjukkan bahawa bumi dan cakerawala di angkasa raya adalah bulat ialah falak.

Dalil Al-Quran Buktikan Bumi Itu Sfera

Sebagai contoh, di dalam surah al-Anbiya ayat 33 ALLAH berfirman, “Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Kesemuanya beredar di dalam falaknya.”

“Ayat ini menjelaskan, malam, siang, matahari dan bulan, beredar dalam falaknya masing-masing mengikut apa yang ditetapkan ALLAH. Mengikut kamus Hans Wehr: A Dictionary Of Modern Written Arabic, falak pada asalnya bermaksud bulat.

“Justeru, sahabat Abdullah ibn Abbas berpendapat, cakerawala di langit “beredar dalam bulatan sebagaimana beredarnya rahat ketika menggulung benang”. Hal ini telah disebutkan di dalam kitab Tafsir Al-Quran al-Azim karangan Imam Ibn Kathir. Mengikut Kamus Dewan, rahat ialah satu alat bulat seumpama roda yang digunakan untuk menggulung benang.

“Seperkara yang menarik berhubung dengan ayat ini ialah, ALLAH mengatakan, malam dan siang juga beredar dalam falaknya, seperti matahari dan bulan. Ini menunjukkan, seperti matahari dan bulan, perubahan malam dan siang juga berlaku dalam bentuk bulatan. Hal ini tidak mungkin berlaku melainkan jika bumi adalah bulat kerana malam dan siang adalah fenomena yang berlaku di muka bumi.

Dalam pada itu, Dr Danial memaklumkan, berdasarkan ini, Syeikh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir  berkata, “Ayat ini menunjukkan bahawa bumi adalah bulat dan al-Quran menjelaskan tentang hal ini sebelum teori kebulatan bumi menjadi satu hakikat yang dipegang umum. Inilah satu di antara banyak mukjizat yang terdapat dalam al-Quran.

Dipersetujui Oleh Saintis dan Cendikiawan Muslim

Katanya, sebenarnya pendirian bahawa bumi adalah bulat merupakan satu pendirian yang disepakati oleh tokoh-tokoh Islam di peringkat awal Islam.

Hal ini disebutkan oleh Imam Ibn Taimiyah dalam kitab beliau Majmuul Fatawa, jilid keenam.  "Beliau menegaskan, kesemua cakerawala termasuk bumi adalah bulat dan ia merupakan pendirian ulama seperti Abul-Hasan ibn Al-Manaadi, Abu Muhammad ibn Hazm, Abul-Faraj ibn Al-Jawzi dan ramai lagi. Pegangan ini adalah berdasarkan kalimat falak di dalam bahasa Arab yang bermaksud bulat.

“Di samping itu, kalimat falak satu lagi yang digunakan al-Quran menunjukkan bahawa bumi ini adalah bulat ialah kawwara.

Dalam surah az-Zumar ayat 5 ALLAH berfirman, “Dia yang mencipta langit dan bumi dengan kebenaran. Dijadikannya malam memasuki siang dan siang memasuki malam dan dipermudahkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar mengikut masa yang ditetapkan. Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,”  jelasnya.

Bahkan, ketika menceritakan tentang malam memasuki siang dan siang memasuki malam ALLAH menggunakan kalimat yukawwiru.

Yukawwiru berasal daripada kalimat kawwara dan kawwara ialah perbuatan yang melibatkan sesuatu yang bulat seperti bola.

Antara contoh yang diberikan Imam Nasafi berhubung penggunaan kalimat ini ialah perbuatan melilitkan kain serban di atas kepala.

Perbuatan melilitkan kain mengelilingi kepala yang bulat diistilahkan sebagai kawwara. Hal ini disebutkan dalam al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.

Justeru menurutnya, berdasarkan kalimat kawwara, malam dan siang mengelilingi bumi sebagaimana serban meliliti kepala. Ia menunjukkan bumi adalah bulat seperti kepala manusia.

Dalam Hans Wehr A Dictionary Of Modern Written Arabic oleh J. Milton Cowan, kawwara diertikan sebagai “to roll, roll up, roll into a ball, to wind (the turban), to make round, ball-shaped,” yang bermaksud, “melipat, melipat dalam bentuk bola, melilitkan (serban), menjadikan sesuatu bulat seperti bola.

“Berhubung dengan ayat 5 dalam surah az-Zumar ini, Syeikh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir berkata, “Ayat ini dengan jelas mengisyaratkan bahawa bumi ini adalah bulat seperti sfera. Hal ini disebabkan kalimat kawwara tidak digunakan melainkan pada sesuatu yang bulat.”

“Satu lagi kalimat dalam al-Quran yang mengisyaratkan tentang kebulatan bumi ialah daha.

Sebagai contoh, dalam surah an-Naziat ayat 30 ALLAH berfirman, “Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (daha-ha).” Kalimat “dihamparkannya” untuk menerangkan maksud kalimat “daha-ha” sebenarnya tidak memberi suatu gambaran yang jelas tentang maksud sebenar kalimat ini.

“Hal demikian, berhubung dengan ini Syeikh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir berkata, “(Penggunaan kalimat daha) menampakkan tentang mukjizat al-Quran.

Hal ini disebabkan daha dalam bahasa Arab melambangkan sesuatu yang bulat seperti bola.

Justeru orang-orang Arab menamakan telur burung unta (ostrich) yang ditimbus pasir sebagai udhiyyah dan udhuwwah,” terangnya.

Tambah beliau, kalimat-kalimat udhiyyah dan udhuwwah berasal daripada kalimat daha.

Justeru, apabila ALLAH menggunakan kalimat daha ketika menceritakan tentang kejadian bumi, ia menampakkan bahawa bumi dicipta ALLAH dalam keadaan bulat seperti telur burung unta.

Scroll to top