Putera Raja Arab Saudi Disebat Dalam Penjara

RIYADH: Seorang anggota keluarga diraja Arab Saudi menjalani hukuman sebat dalam penjara di Jeddah seperti diarahkan mahkamah, lapor akhbar pada Rabu, tidak sampai sebulan selepas ia melaksanakan hukuman mati ke atas seorang lagi putera kerana membunuh.

Laporan ringkas dalam akhbar Okaz tidak mendedahkan kesalahan dilakukan putera berkenaan tetapi beliau turut diarahkan menjalani hukuman penjara.


Hukuman dijalankan anggota polis pada Isnin selepas pemeriksaan kesihatan dibuat bagi memastikan putera yang tidak dinamakan itu sihat.

Seorang lagi putera keluarga Al Saud yang memerintah Arab Saudi menjalani hukuman mati di Riyadh pada 19 Oktober lalu selepas mahkamah mendapati beliau bersalah menembak mati seorang rakyat tempatan, lapor media rasmi, yang pertama kes pelaksanaan hukuman mati terhadap putera raja sejak 1970-an.

Putera Turki bin Saud al-Kabir mengaku bersalah menembak mati Adel al-Mohaimeed selepas bergaduh, kata Kementerian Dalam Negeri. Media sosial negara itu menyifatkan pelaksanaan hukuman itu sebagai tanda keadilan menurut hukum Islam. - Agensi

Scroll to top