Sejarah Asal-Usul PROTON


SEJARAH KEWUJUDAN PROTON MALAYSIA


PROTON (singkatan untuk Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd) yang ditubuhkan pada 7 Mei 1983 dengan modal berbayar sebanyak 150 juta ringgit, merupakan pengeluar kereta pertama Malaysia.

Penubuhannya merupakan gagasan Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri ketika itu, untuk mencapai aspirasi negara menuju ke arah perindustrian. Tugas berat ini disokong oleh Perbadanan Industri Berat Malaysia Berhad (HICOM), serta rakan-rakan usaha sama dari seberang laut.

Pemegang saham terdiri daripada:

  1. Perbadanan Industri Berat Malaysia Berhad (70%)
  2. Mitsubishi Motors Corporation, Jepun (15%)
  3. Mitsubishi Corporation, Jepun (15%)

Kilang PROTON terletak di:

  • Kawasan Perindustrian HICOM, Batu Tiga, 40000 Shah Alam, Selangor.
  • Tanjung Malim, Perak


Sejarah Asal-Usul PROTON

Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad berasaskan idea beliau kepada presiden Mitsubishi semasa lawatan beliau ke Malaysia pada tahun 1981.



Kemudian pada bulan Februari 1982, satu pasukan projek ditubuhkan di Perbadanan Industri Berat Malaysia Berhad (HICOM) bagi membuat penyelidikan dan menandatangani perjanjian dengan Mitsubishi.

Krisis dalam Syarikat PROTON

Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff

Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff telah ditamatkan kontraknya pada 25 Julai 2005, tidak lama selepas beliau menimbulkan isu AP yang dikeluarkan sehingga menjejaskan pasaran kereta tempatan. Di bawah pengurusan Tengku Mahaleel selama tujuh tahun, Proton telah mampu menambah kapasiti pengeluaran, mengeluar kereta sendiri dan mengumpul keuntungan tunai berjumlah lebih RM4 bilion. Sebanyak RM1.7 bilion daripada jumlah tersebut digunakan untuk membina kilang Proton di Tanjong Malim.

Dalam tempoh empat bulan sahaja selepas penamatan kontrak Tengku Mahaleel, kedengaran ura-ura penutupan Proton. Ini adalah sesuatu yang memeranjatkan kerana aset Proton termasuk harta tanah di Batu 3, Shah Alam bernilai berbilion, tidak termasuk aliran tunai RM4 bilion pastinya lebih daripada mencukupi bagi menampung kos operasi.


Pada 2006, Proton Holding telah mengumumkan subsidarinya Proton Capital Sdn Bhd telah menandatangani penjualan saham 57.75% dalam MV Agusta yang telah dibeli pada 2004 dengan harga € 1 (RM4.50). Pembelian MV Agusta dilakukan dengan mengetahui bahawa ia mempunyai hutang sebanyak € 230 juta yang ditangguh selama 3 tahun.

Penjualan itu menimbulkan reaksi balas daripada Tun Dr Mahathir Mohammad dan bekas pengarah urusan Proton, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff yang mempersoalkan samada ia dijual secara terbuka yang memungkinkan harga yang lebih mahal didapati.

Selain itu Proton turut dilapurkan mengalami kerugian akibat menjual kereta pada harga potongan yang dianggarkan sekitar RM108 juta. (Berdasarkan 54,000 buah kereta selama 3 bulan X potongan RM2,000 sebuah), yang disifatkan oleh Tengku Mahaleel sebagai kesilapan strategi Proton.

Senarai kenderaan/kereta keluaran PROTON:

  1. Proton Arena: Sebuah trak utiliti mini yang juga dipanggil sebagai Proton Jumbuck di UK dan Australia).
  2. Proton Gen-2: Satu-satunya kereta buatan Malaysia sepenuhnya (termasuk chasis dan enjin) dan merupakan model gantian untuk Proton Wira; dilancarkan pada 8 Februari 2004.
  3. Proton Iswara: Merupakan perubahan rupa bagi Proton Saga; dilancarkan pada 1992.
  4. Proton Juara: Sebuah MPV yang ringkas dan kecil berasaskan Mitsubishi Town Box.
  5. Proton Persona: Dilancarkan pada 15 Ogos 2007. Kereta sedan 1.6 liter ini berasaskan kepada model terdahulu, Proton Gen-2 dengan menampilkan bentuk sedan berbanding Gen-2 dengan bentuk hatchback. Ia juga mengekalkan enjin 82kW Campro.
  6. Proton Perdana: Berasaskan Mitsubishi Eterna, dikeluarkan untuk pasaran kereta mewah pada 1994.
  7. Proton Perdana V6: Versi V6 untuk Proton Perdana dengan pengubahsuaian kit.
  8. Proton PERT: Mempunyai ciri yang sama seperti Mitsubishi Lancer Evolution III. Model ini hanya digunakan pada Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC).
  9. Proton Putra: Sport Coupe 2 pintu berpandukan Mitsubishi Mirage/Asti.
  10. Proton Saga: Merupakan model pertama, berasaskan model Mitsubishi Lancer Fiore. Ia dibangunkan buat pertama kali di Shah Alam pada bulan September 1985. Proton Saga ke 100,000 telah dikeluarkan pada Januari 1989. Model generasi kedua Proton Saga dikeluarkan pada Januari 2008 dengan reka bentuk serba baru rekaan Proton sendiri serta menggunakan enjin Campro IAFM 1.3L.
  11. Proton Satria: Hatchback 3 pintu berpandukan Mitsubishi Mirage/Colt.
  12. Proton Satria GTI: Hatchback sport 3 pintu. Merupakan percubaan Proton untuk mengeluarkan versi sport dan market hatchback berkuasa tinggi. Amat popular di Malaysia dan mempunyai pengikut yang ramai di Australia. Enjin berkuasa 4 silinder 1.8 liter DOHC.
  13. Proton Satria R3: Merupakan versi terhad spek perlumbaan untuk Satria dengan hanya dikeluarkan sebanyak 150 unit. Merangkumi kerangka chasis ringan dan enjin ubahan.
  14. Proton Satria Neo: Merupakan versi terbaru keluaran Proton. Ia dilancarkan pada 16 Jun 2006 dan didatangkan dalam 1.6L dan 1.3L dengan enjin Campro. Ia dijangka mengambil kembali pasaran jualan kereta Proton sebanyak 40%.
  15. Proton Savvy: Dilancarkan pada 8 Jun 2005. Merupakan kereta kompak 5 pintu dengan 1,200 cc, model gantian untuk Proton Tiara. Tetapan standard kereta ini menerima enjin dan kotak gear semi-otomatik dari Renault.
  16. Proton Tiara: Merupakan kereta kompak berasaskan Citro├źn AX, direka dibawah lesen Proton dari 1996 hingga 2000.
  17. Proton Waja: Juga dipanggil Proton Impian di Eropah, ia merupakan kereta Proton yang pertama direka sendiri. Tetapi, chasis kereta diambil dan direka berpandukan chasis dari Mitsubishi dan Volvo S40 generasi pertama (melainkan varian 1,800 cc, dimana dibangunkan dengan menggunakan enjin Renault). Asalnya model Proton Waja 1.6 menggunakan enjin 4G18 yang turut digunakan oleh Mitsubishi Lancer model tahun 2000 tetapi kemudian ia mula menggunakan enjin Campro pada tahun 2006. Pada tahun 2008, enjin Campro pada Proton Waja turut dilengkapi teknologi pemasaan injap boleh laras Campro CPS.
  18. Proton Wira: Juga dikenali sebagai Proton Persona di beberapa pasaran luar negara, ia telah diperkenalkan pada 1993 berasaskan Mitsubishi Lancer/Colt. Telah terjual sebanyak 220,000 unit diantara 1996 dan 1998. Versi ini amat popular di Malaysia.
  19. Proton Exora: MPV pertama Proton ini dilancarkan pada 15 April 2009. Ia menggunakan enjin Campro CPS 1.6L yang menghasilkan 125 kuasa kuda/6750rpm dan 150Nm of tork/4000rpm, memberikan kelajuan maksimum 165 km/j dan penggunaan bahan api 7.2 L/100 km. Exora dianugerahkan 4 bintang dalam penarafan EuroNCAP selepas 32 buah Exora dihantar menjalani ujian perlanggaran di pusat ujian perlanggaran Applus+ IDIADA di Sepanyol. Selain itu, Exora turut dianugerahkan penarafan 4 bintang oleh program penilaian MyVAP. Salah satu daripada ciri utama yang membolehkan penarafan tersebut dicapai ialah melalui penggunaan keluli tegangan bagi kerangka badan, memberikan kestabilan yang lebih baik serta penyerapan kesan perlanggaran yang lebih baik semasa kemalangan. Bar impak tepi juga dipasang bagi mengukuhkan kerangka pintu serta bagi menyerap kesan perlanggaran dari arah tepi.
  20. Proton Preve - (lihat video pelancara rasmi dan spesifikasi Proton Preve di sini)


GARIS MASA PENUBUHAN PROTON

  • 7 Mei 1983: Penubuhan PROTON.
  • 23 Mei 1983: Upacara menandatangani:
  • Perjanjian usahasama
  • Perjanjian bantuan teknikal
  • Perjanjian pinjaman
  • Kontrak untuk bekalan dan pembinaan loji pembuatan kereta
  • Kontrak untuk bekalan bungkusan KD dan alatganti
  • 25 Jun 1984: Menandatangai perjanjian kakitangan.
  • 27 Jun 1984: Pengumumam nama model bagi kereta nasional (Proton Saga).
  • 1 Ogos 1984: Pemasangan peralatan/jentera bermula.
  • 29 Oktober 1984: Penilaian bersama prototaip pengeluaran untuk mendapat pengesahan dan persetujuan.
  • 1 Disember 1984: Berpindah ke pejabat baru di Loji, Shah Alam.
  • 26 Januari 1985: Pemasangan mesin pembentuk dirasmikan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Perdagangan dan Perindustrian.
  • 18 April 1985: Percubaan pengeluaran kereta pertama selesai.
  • 1 Julai 1985: Permulaan pengeluaran komersial Proton Saga.
  • 9 Julai 1985: Pembukaan rasmi kilang kereta nasional dan pelancaran Proton Saga oleh YAB Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia.
  • 1 September 1985: Pelancaran pasaran oleh Edaran Otomobil Nasional Sdn Bhd (EON).
  • 15 Januari 1986: Pengeluaran 10,000 unit Proton Saga.
  • 26 Februari 2005: Perasmian kilang Proton kedua di Tanjung Malim oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
  • 25 Julai 2005: Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff ditamatkan kontrak sebagai Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
  • 29 November 2005: Proton Holdings Bhd. hari ini mengumumkan pelantikan Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir sebagai Pengarah Urusan baru syarikat kereta nasional itu, berkuat kuasa 1 Januari 2006.
  • 2 Ogos 2008: Pengeluaran kereta Proton yang ke 3 juta.



SILA KONGSIKAN

Azri Johan

Jom Follow : Facebook | Twitter | Instagram | Google+
Artikel di blog ini adalah tentang pengalaman hidup penulis dan juga beberapa perkongsian rawak. Diharap para pembaca berfikiran positif dan terbuka. Sila rujuk Penafian/Disclaimer untuk maklumat lanjut. Terima Kasih.
2 Feedback:

Post a Comment

Copyright by Blog Azri| Thanks Forblogger and Templateism | Azri Network (IP0397606-A)